Lucky Charms Rainbow

Definisi dan ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas


    Pintar cerdas didefinisikan sebagai pembelajaran dan perkembangan yang  melebihi daripada tahap normal (Porter, 2009). Manakala menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010), pintar bermaksud “cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin dan mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan” dan maksud cerdas pula adalah “sempurna akal untuk berfikir dan mengerti.” Oleh itu, kanak-kanak pintar cerdas ini dapat ditakrifkan sebagai kanak-kanak yang pandai dalam sesuatu perkara dan mempunyai pemahaman yang tinggi berbanding kanak-kanak normal.
Porter (2009) menyatakan kanak-kanak pintar cerdas memiliki domain kebolehan dalam intelektual, akademik, verbal, kemahiran bersosial, muzik, kemahiran fizikal, mencitrakan seni dan kecerdasan emosi (emotional intelligence). Beliau turut menerangkan cara untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas yang berdomain intelektual, akademik, verbal, kecerdasan emosi dan kemahiran bersosial.
Domain
Ciri-ciri
Intelektual
Cepat belajar, minat memerhati alam semulajadi, mengingati dengan cepat dan tepat, pengetahuan yang mendalam berbanding kanak-kanak normal, cepat memahami konsep yang abstrak seperti masa, mempunyai memori yang tinggi, pencapaian awal sekurang-kurangnya 1/3 lebih awal
Akademik
Tahap pembacaan, pengiraan dan penulis lebih tinggi berbanding kanak-kanak normal, boleh menulis perkataan lain selain nama sendiri tanpa pengajaran secara formal, minat membaca buku dan menonton filem yang lebih matang berbanding usia dan memperlihatkan kemahiran dalam satu atau dua subjek
Verbal
Tahap pertuturan yang jelas (perbendaharaan kata, tatabahasa), menggunakan analogi dan metafora, awal memahami bahasa, bercerita dan berlagu secara spontan, berkebolehan untuk memperbaiki bahasa kawan yang kurang matang, menggunakan bahasa untuk menyampaikan idea dan maklumat di awal usia dan memiliki jenaka yang kompleks (sofistikated)
Kecerdasan emosi
Perkembangan awal kendiri dan harga diri, yakin dengan kebolehan yang ada, mementingkan kesempurnaan, lebih peka terhadap kritikan, mudah kecewa, mudah berasa bimbang pada usia yang  muda, menerima tanggungjawab yang biasanya diberi kepada kanak-kanak yang lebih tua daripadanya, mempunyai kesedaran rohani dan sensitif serta responsif terhadap emosi
Kemahiran bersosial
Mempunyai nilai empati yang tinggi terhadap orang lain, perkembangan awal dalam penaakulan dan penilaian, mementingkan keadilan, lebih memilih kanak-kanak yang lebih tua atau orang dewasa atau bermain sendirian sekiranya tiada rakan intelektual sepertinya, mempunyai kemahiran dalam kepimpinan; dan mempunyai kebolehan dan tahap keinginan yang lebih tinggi dalam sesuatu permaian berbanding kanak-kanak normal

Selain itu, kanak-kanak pintar cerdas juga memiliki ciri-ciri kepandaian berfokus iaitu hanya pandai dalam sesuatu bidang tetapi mempunyai kepandai yang normal untuk bidang-bidang lain. Perkara ini dinamakan asynchronous yang bermaksud tidak sekata atau tidak berlaku mengikut peringkat atau kadar yang sepatutnya bersama-sama dengan perkara lain. Ain Hazwani et.al (2011) menjelaskan kanak-kanak pintar cerdas berkembang secara asynchronous iaitu perkembangan yang tidak selari dengan domain-domain lain. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia 7 tahun mempunyai keupayaan intelektual seperti kanak-kanak berusia 12 tahun, berkeupayaan sosial seperti kanak-kanak berusia 9 tahun dan memiliki keupayaan emosi seperti umur sendiri. Rumusannya, perkembangan kanak-kanak pintar cerdas dari segi intelektual, emosi dan sosial adalah lebih cepat berbanding kanak-kanak biasa. Namun begitu, individu yang dikategorikan dalam pintar cerdas juga mempunyai beberapa kelemahan.

0 pendapat:

Post a Comment