Lucky Charms Rainbow

Kategori kanak-kanak berkeperluan khas


         Walaupun skop berkenaan golongan OKU ini adalah luas, hanya isu pembelajaran dan bahasa kanak-kanak OKU yang akan dikupas dan dibincangkan. Di dalam buku hasil penulisan Sang (2012), penulis menyenarai dan menjelaskan tujuh kategori kanak-kanak berkeperluan khas. Kategori tersebut adalah seperti berikut:
  1.  Kanak-kanak kerencatan akal: Kanak-kanak dalam kategori ini mempunyai darjah kecerdasan (IQ) di antara 35 hingga 85 dan boleh dikenal pasti menggunakan ujian mengukur darjah kecerdasan dan melalui kaedah pemerhatian atau ujian saringan.
  2. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran: Kanak-kanak dalam kategori ini mempunyai gangguan tatatertib dalam kefahaman dan penggunaan bahasa serta lisan. Antara ciri-ciri kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah introvert, mudah lupa, berkendiri negatif, bermotivasi rendah, dan tahap perhatian adalah rendah.
  3. Kanak-kanak kecelaruan tingkah laku: Terdapat empat kategori kanak-kanak dalam kategori ini iaitu tingkah laku terbias (suka melanggar peraturan dan menentang autoriti), sifat pengongkongan dalaman (pendiam dan suka menyendiri serta mudah melakukan tindakan di luar jangkaan), tingkah laku ketidakmatangan (sukar menumpukan perhatian terhadap pelajaran) dan tingkah laku antisosial (mempunyai masalah disiplin).
  4. Kanak-kanak cacat pendengaran dan bermasalah komunikasi: Kanak-kanak dalam kategori ini boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu pendengaran pratutur (pekak sejak lahir) dan pendengaran postutur (cacat pendengaran separa atau sepenuhnya yang berlaku selepas mempunyai pengalaman bertutur. Menurut Nordin Tahir (2012), individu yang dikategori sebagai pekak hilang tahap keupayaan mendengar melebihi 10 desibel manakala separa pekak mempunyai tahap keupayaan mendengar antara 20 desibel hingga 60 desibel. Hal ini mengakibatkan mereka sukar untuk mempelajari cara sebutan perkataan dengan tepat dan jelas serta boleh menjejaskan komunikasi dengan orang lain. Nordin Tahir (2012) juga menyatakan gagap, masalah sebutan, masalah bahasa dan masalah suara sebagai masalah pertuturan.
  5.   Kanak-kanak cacat penglihatan: Kanak-kanak buta atau mempunyai tahap kecekapan penglihatan di antara 20/70 hingga 20/200 seperti rabun dekat, rabun jauh, astigmatisme, rabun warna, katarak, glaukoma dan juling. Kanak-kanak dalam kategori ini tentu bermasalah dalam pembelajaran kerana kecacatan penglihatan sama ada sementara atau kekal menyukarkan mereka untuk melihat, membaca dan menerima informasi.
  6. Kanak-kanak cacat fizikal: Kecacatan anggota yang menyukarkan kanak-kanak untuk bergiat dengan lebih cekap dan aktif dalam melakukan sebarang aktiviti. 
  7.  Kanak-kanak pintar-cerdas dan berbakat istimewa: Kanak-kanak ini mempunyai darjah kecerdasan yang tinggi iaitu melebihi 120. Walau bagaimanapun, mereka masih mempunyai beberapa kelemahan dari segi emosi dan sosial (Shahfinas Shahmuri, 2011).
  Menerusi blog ini, saya hanya akan mengupas dan membincangkan isu pembelajaran dan bahasa yang dialami oleh kanak-kanak pintar-cerdas. Hal ini kerana masih ramai masyarakat kita yang berpersepsi bahawa kanak-kanak istimewa hanya tertumpu kepada kanak-kanak yang memiliki autisme, disleksia, cacat anggota atau cacat sensori. Namun, mereka tidak mengetahui bahawa kanak-kanak pintar cerdas juga tergolong dalam golongan istimewa dan bekeperluan khas. Perkara ini mungkin berlaku kerana stigma pemikiran masyarakat yang melihat kanak-kanak seperti ini memiliki kelebihan dan sempurna serta tidak mempunyai apa-apa masalah.

1 pendapat:

Noradieh Kadis 25 November 2013 08:02

Bagus, just what I need.. Thanks

Post a Comment