Lucky Charms Rainbow

Strategi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas


          Setelah mengenal pasti ciri-ciri dan isu-isu mengenai kanak-kanak pintar cerdas, ibu bapa atau guru dapat menyusun dan mengatur strategi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas ini. Terdapat 4 kaedah yang disyorkan oleh Nurul Asyikin dan Masziatie Aziz (2011) iaitu kaedah pecutan, kaedah pengayaan, kaedah koperatif dan kaedah pengelompokan.
            Kaedah pecutan berfungsi sebagai kaedah yang memendekkan masa atau tempoh belajar.Kaedah pecutan ini akan lebih berkesan sekiranya pihak sekolah turut sama terlibat dan mempunyai kurikulum yang telah ditetapkan. Terdapat dua kaedah pecutan iaitu kurikulum penyesuaian dan pecutan subjek. Kanak-kanak akan diniliai berdasarkan tahap penguasaan masing-masing dan bukan dinilai mengikut kurikulum sekolah yang seragam mengikut peringkat kanak-kanak yang sebaya. Manakala pecutan subjek pula adalah memberi tawaran kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk menguasai sesuatu subjek tetapi akan ditempatkan di kelas yang sama dengan rakan-rakan sebaya untuk subjek lain.
            Seterusnya adalah kaedah pengayaan yang didefinisikan sebagai “program pengayaan sebagai aktiviti asas pembelajaran yang mengandungi unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari” (Kementerian Pendidikan Malaysia yang dipetik dalam Nurul Asyikin & Masziatie Aziz, 2011). Kaedah ini berfungsi sebagai memenuhi keperluan dan kemampuan kanak-kanak pintar cerdas dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Terdapat dua bentuk kaedah pengayaan iaitu pengayaan yang mendalam dan pengayaan yang meluas. Pengayaan yang mendalam adalah kaedah yang mengajar kanak-kanak pintar cerdas berdasarkan kurikulum yang terdapat di sekolah manakala pengayaan yang meluas pula, kanak-kanak ini akan mempelajari perkara di luar bidang. Melalui kaedah ini, isu berkenaan kanak-kanak pintar cerdas mudah bosan dapat dikawal dan diatasi.
            Kaedah yang ketiga adalah kaedah pengelompokan iaitu satu kaedah yang menempatkan sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai potensi atau intelektual yang sama di dalam sebuah kelas. Apabila kanak-kanak yang mempunyai tahap intelektual yang sama berada dalam satu kelompok, sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah di samping mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Kaedah ini juga secara tidak langsung dapat memberi kesan yang positif terhadap motivasi dan persepsi kanak-kanak pintar cerdas dalam proses pembelajaran. Selain itu juga, kaedah pengelompokan ini dapat memberi cabaran kepada kanak-kanak pintar cerdas selain meningkatkan kebolehan membuat penaakulan masing-masing.
            Akhir sekali adalah kaedah koperatif. Menurut Nurul Asyikin dan Masziatie Aziz (2011), kaedah ini merupakan strategi pengajaran yang dilaksanakan dalam kumpulan kecil dan pelajar akan berinteraksi untuk menyelesaikan sesuatu masalah bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini boleh disertai oleh pelbagai individu tanpa mengira umur dan disesuaikan dengan sebarang subjek supaya interaksi dua hala dan perkongsian maklumat boleh berlaku di samping meningkatkan kualiti pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas. Oleh itu, guru perlu bijak mencorakkan gaya pengajarannya agar dapat menarik perhatian dan minat pelajar untuk terlibat bersama-sama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jelas sekali guru-guru yang terlibat dalam pengajaran kanak-kanak pintar cerdas ini perlu mempunyai komitmen dan kesabaran yang tinggi  agar kebajikan dan pendidikan kanak-kanak dalam kategori ini tidak terabai.

0 pendapat:

Post a Comment